Tuesday

Syurga Untuk Siapa?


"Hari ini saatnya beramal, tidak ada hisab; dan esok saatnya hisab, tidak ada amal"
(Ali bin Abi Talib)

1) Siapakah penghuni syurga?
- Pastinya syurga yang maha indah itu Allah ciptakan untuk hamba-hambaNya yang terpilih iaitu orang-orang yang bertaqwa. Firman Allah SWT: "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa." (Surah al-Imran: 133)

2) Berapakah keluasan syurga?
- Syurga yang lebarnya adalah selebar (luas) langit dan bumi. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka disisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap) yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah redha akan mereka dan mereka pun redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya." (Surah al-Bayyinah: 7)

- Dalam ayat di atas, Allah menerangkan antara ciri-ciri utama penghuni syurga ialah:
a) Orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
b) Orang-orang yang meredhai Allah SWT sebagai Rabbnya serta meredhai qada' dan qadarNya.
c) Orang yang takut kepada Tuhannya.

3) Siapakah lagi yang tersenarai sebagai calon-calon penghuni syurga? Siapakah lagi dikalangan hamba yang beroleh perkenan Allah untuk berehat dan berkampung di dalam syurga?

- Firman Allah SWT: "Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandung dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila ia telah dewasa, dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redhai.

Berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk dalam orang-orang yang berserah diri. Mereka itulah orang-orang yang diterima daripada mereka amal yang baik yang telah mereka kerjakan, dan Kami ampuni kesalahan-kesalahan mereka, bersama penghuni-penghuni syurga, sebagai janji yang benar yang telah Kami janjikan kepada mereka." (Surah al-Ahqaf: 15-16)

- Menurut ayat di atas, terdapat lima ciri-ciri penghuni syurga iaitu:
a) Orang yang berbuat ihsan (baik) kepada ibu dan bapanya.
b) Orang yang pandai bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang diterimanya.
c) Orang yang beramal soleh dengan mengharap redha Allah.
d) Orang yang bertaubat atas segala kesalahan yang pernah dilakukan.
e) Orang yang berserah diri hanya kepada Allah sahaja

- Idealnya, andai kita berusaha melakukan lima ciri (amalan) tersebut dalam kehidupan seharian kita, insyaAllah kita pasti akan menjadi salah seorang dari penduduk syurga yang indah. Itulah janji Allah kepada sekalian hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

Sesungguhnya syurga yang tidak pernah dipandang mata, jarang-jarang didengar oleh telinga dan tidak terbekas di hati manusia itu Allah sediakan untuk hamba-hambaNya yang soleh. Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: "Allah Azza wa Jalla berfirman, Aku siapkan bagi hamba-hambaKu yang soleh sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas oleh fikiran." (Riwayat Bukhari & Muslim)