Menepati janji
BOLEHKAH dijelaskan makna dan fungsi sebenar kalimat insya-Allah dalam Islam? Sebab saya sering menjumpai beberapa orang menggunakan kalimat ini sebagai alasan untuk tidak melaksanakan janji. Sehingga setiap kali mendengar seseorang berjanji sambil mengucap: insya-Allah, saya merasa tidak pasti janji itu akan ditepati.
Jawapan
Sebelum kita menyelami makna sebenar yang terkandung dalam kalimat insya-Allah, ada baiknya kita melihat terlebih dahulu melihat sejarah penggunaan kalimat ini.
Jika kita amati ayat-ayat al-Quran, ternyata kalimat insya-Allah telah digunakan oleh nabi-nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad SAW. Apabila Nabi Ibrahim menyampaikan perintah Allah untuk menyembelih Nabi Ismail, anak yang saleh ini berkata: Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya-Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang-orang yang bersabar. (al-Saffat: 102)
Begitu juga ucapan Nabi Musa apabila beliau berjanji kepada Nabi Khidir untuk patuh kepada semua arahannya sepanjang perjalanan menuntut ilmu. Nabi Musa berkata: Insya-Allah engkau akan mendapatiku sebagai orang yang bersabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusanpun. (al-Kahfi: 69)
Kalimat ini kemudiannya diwariskan kepada Nabi Muhammad SAW. Allah memerintahkan baginda untuk selalu mengucapkan insya-Allah setiap kali berjanji akan melakukan sesuatu di masa hadapan.
Allah berfirman: Dan jangan sekali-kali engkau (Muhammad) mengatakan: Sesungguhnya aku akan mengerjakan ini esok, kecuali (dengan menyebut): insya-Allah... (al-Kahfi 23-24)
Menurut Ibnu Jarir Al-Tabari, ayat ini berisi pengajaran adab untuk Nabi SAW. Beliau dilarang untuk memastikan apa yang akan terjadi di masa hadapan melainkan dengan menyandarkannya kepada kehendak Allah. Sebab segala sesuatu hanya boleh berlaku apabila dikehendaki oleh Allah SWT.
Pengajaran ini tentu sahaja bukan khas untuk baginda seorang. Akan tetapi, adab ini juga berlaku untuk seluruh umat baginda hingga akhir zaman. Seorang mukmin yang menyedari hakikat dirinya sebagai hamba yang lemah tidak pernah berjanji melainkan dengan menyebut insya-Allah.
Makna insya-Allah
Jadi, kita boleh melihat bahawa kalimat insya-Allah merupakan sunnah nabi-nabi terdahulu yang diwariskan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Justeru, kalimat ini bukan perkara ringan, malah ia mengandungi makna yang sangat penting untuk disedari.
Secara harfiah, kalimat insya-Allah bermakna jika Allah menghendaki. Ucapan ini melambangkan kesedaran hamba akan hakikat dirinya yang serba kekurangan dan jahil. Sekali gus mengiktiraf kekuasaan Allah SWT yang Maha Kuasa dalam menentukan setiap yang berlaku di alam semesta ini.
Sepandai manapun seorang manusia, ia hanya boleh merancang dan berharap. Allah jua yang akan menentukan apakah rancangan dan harapan itu boleh terlaksana ataukah tidak?
Ucapan insya-Allah ini mencerminkan pengakuan atas kelemahan diri dan ketergantungan kepada belas kasih tuhannya agar selalu membantu dalam setiap keinginan dan niatnya.
Siapa yang selalu menyedari kelemahan dirinya, Allah akan selalu hadir dalam hidupnya. Dan siapa yang merasa dirinya serba cukup dan berkuasa atas segalanya, ia akan lupa diri dan berakhir seperti Firaun dan Namruz yang mengaku diri sebagai tuhan.
Berkata Imam al-Syafi'i: "Kelemahan adalah sifat manusia yang paling jelas. Sesiapa yang selalu menyedari sifat ini, dia akan beroleh istiqamah dalam beribadat kepada Allah."
Jadi betullah kalimat ini bukan perkara yang boleh dijadikan alasan untuk dipermain-mainkan?
Ya, jelaslah ucapan insya-Allah sama sekali bukan alat untuk melepaskan tanggungjawab atau alasan untuk tidak menepati janji. Sebagai seorang Muslim, janji adalah hutang yang mesti kita tunaikan. Ucapan ini juga bukan kalimat alternatif untuk menolak secara halus permintaan pihak yang ingin kita jaga hatinya.
Sebaliknya, insya-Allah lebih sesuai difahami sebagai kata-kata jaminan bahawa janji yang telah terucap akan terlaksana dengan baik. Sebab siapa yang berjanji dengan niat sungguh-sungguh untuk melaksanakannya, sambil menyerahkan perkara itu kepada Allah, bantuan daripada Allah SWT akan datang untuk mewujudkan janji tersebut.
Dalam hadis Al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW pernah bercerita: Nabi Sulaiman bin Dawud berkata: Malam ini aku akan mendatangi 90 orang isteri-isteriku. Setiap daripada mereka pasti akan melahirkan seorang pejuang di jalan Allah.
Malaikat berkata kepadanya: katakanlah insya-Allah. Namun Nabi Sulaiman tidak mengucapkan kalimat ini. Akhirnya, tidak ada seorangpun daripada isteri-isterinya itu yang melahirkan anak. Hanya seorang isteri yang melahirkan, namun anak itu cacat dan tidak sempurna.
Bersabda Nabi SAW: Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, andai beliau mengucapkan: insya-Allah, nescaya isteri-isterinya itu akan melahirkan anak-anak yang berjuang di jalan Allah.
Berkata Ibnu Battal Al-Maliki: "Hadis ini mengandungi pengajaran bahawa sesiapa yang mengucapkan insya-Allah, sambil menyedari kelemahan dirinya dan meminta bantuan daripada Allah, maka besar kemungkinan ia akan memperoleh apa yang diharapkannya."
Maka menjadi kewajiban kita merubah kekeliruan ini dengan memulainya dengan diri kita sendiri. Pastikan selalu kalimat insya-Allah diucapkan setiap kali berjanji.
Selepas itu berusahalah sedaya upaya untuk menepati janji itu sambil meminta bantuan daripada Allah SWT. Jika semua ini kita lakukan, maka bantuan daripada Allah akan sentiasa mengalir untuk kita.
Kalau bukan kita yang merubah persepsi negatif tentang Islam dan kaum muslimin, maka siapa lagi?
Wallahu a'lam