Thursday

Bacaan Talkin Versi Rumi

Bismillah hir rah man nir rahim.

Mahasuci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam, Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa, Mahasuci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa. Mahasuci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.


Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa,melainkan zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang Mahabesar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala.


Wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA,wahai SAYA Bin IBU SAYA, hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini.


Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat.


Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawa senya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.


Ingatlah wahai SAYA Bin IBU SAYA, apabila datang kepada kamu 2 orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.


Ketahuilah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala.


Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu. Mereka berkata:

Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?

Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.

Hendaklah kamu jawab begini:

Allah Taala Tuhanku,

Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu qiblatku, malahan solah lima waktu, puasa di bulan Ramadhan,mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku.Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: "La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah".

Wahai SAYA Bin IBU SAYA tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal didalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semua untuk berkumpul di Padang Mahsyar.


Insaflah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawa senya mati ini adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar,bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar,berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, ada syurga dan neraka adalah benar.


Bahawa senya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.


Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala.


Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini.Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.


Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.


Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalham dulillahi rabbil alamin.

Sunday

Perkara Makruh Dalam Solat

Makruh mengikut jumhur ulama’ bermaksud tanzihiyyah, iaitu sesuatu yang patut dielakkan.

Jika seseorang melakukan sembahyang secara makruh, maka sebaiknya hendaklah melakukannya semula sekiranya waktu masih ada. 

Secara umumnya, ukuran dalam menentukan sesuatu perkara makruh ialah setiap perbuatan dan perkara yang bertentangan dengan As-Sunnah.

Antara perkara-perkara makruh dalam sembahyang ialah seperti berikut:

1. Meninggalkan sesuatu perkara sunat dalam sembahyang dengan sengaja.

2. Melakukan bacaan yang menyonsang dari susunan yang ada dalam Al-Qur’an.

3. Membaca dalam raka‘at kedua bacaan surah yang lebih panjang daripada yang dibaca dalam raka‘at pertama.

4. Mengulangi pembacaan surah yang sama dalam satu raka‘at yang sama atau dalam dua raka‘at.

5. Melakukan sesuatu yang tidak bermakna dengan tangannya tanpa ada sebab yang perlu.

6. Memejamkan kedua-dua mata semasa sembahyang tanpa keperluan.

7. Berpaling dengan dada masih menghadap qiblat ketika sembahyang tanpa sebarang sebab.

8. Berdiri sebelah kaki atau mengangkat sebelah kaki lalu disandarkan kepada kaki satu lagi.

9. Bersembahyang dalam keadaan menahan keinginan untuk membuang air kecil, air besar atau menahan daripada terkentut.

10. Mengerjakan sembahyang dalam keadaan bersandar ke dinding atau sebagainya.

11. Membaca surah atau ayat dalam dua raka‘at akhir sembahyang fardhu kecuali ma’mum yang masbuq yang ketinggalan raka‘at pertama dan kedua.

12. Membaca nyaring di tempat yang sepatutnya perlahan atau sebaliknya.

13. Menghamparkan kedua belah lengan semasa sujud seperti yang dilakukan oleh singa.

14. Mengerjakan sembahyang dengan menggunakan pakaian harian atau pakaian untuk bekerja sekiranya mempunyai pakaian yang lain.

15. Sembahyang tanpa berbaju sedangkan dia mampu memakainya.

16. Bersembahyang dengan pakaian yang terlukis dengan gambar binatang ataupun manusia.

17. Mengerjakan sembahyang di tempat-tempat seperti bilik mandi, pasar, tempat lalu lalang, kubur, gereja, tempat buangan sampah, tempat penyembelihan dan kandang binatang.


Sumber : Jabatan Mufti Negeri Melaka

Kalimat Insya-Allah

Menepati janji

BOLEHKAH dijelaskan makna dan fungsi sebenar kalimat insya-Allah dalam Islam? Sebab saya sering menjumpai beberapa orang menggunakan kalimat ini sebagai alasan untuk tidak melaksanakan janji. Sehingga setiap kali mendengar seseorang berjanji sambil mengucap: insya-Allah, saya merasa tidak pasti janji itu akan ditepati.


Jawapan

Sebelum kita menyelami makna sebenar yang terkandung dalam kalimat insya-Allah, ada baiknya kita melihat terlebih dahulu melihat sejarah penggunaan kalimat ini.

Jika kita amati ayat-ayat al-Quran, ternyata kalimat insya-Allah telah digunakan oleh nabi-nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad SAW. Apabila Nabi Ibrahim menyampaikan perintah Allah untuk menyembelih Nabi Ismail, anak yang saleh ini berkata: Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya-Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang-orang yang bersabar. (al-Saffat: 102)

Begitu juga ucapan Nabi Musa apabila beliau berjanji kepada Nabi Khidir untuk patuh kepada semua arahannya sepanjang perjalanan menuntut ilmu. Nabi Musa berkata: Insya-Allah engkau akan mendapatiku sebagai orang yang bersabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusanpun. (al-Kahfi: 69)

Kalimat ini kemudiannya diwariskan kepada Nabi Muhammad SAW. Allah memerintahkan baginda untuk selalu mengucapkan insya-Allah setiap kali berjanji akan melakukan sesuatu di masa hadapan.

Allah berfirman: Dan jangan sekali-kali engkau (Muhammad) mengatakan: Sesungguhnya aku akan mengerjakan ini esok, kecuali (dengan menyebut): insya-Allah... (al-Kahfi 23-24)


Menurut Ibnu Jarir Al-Tabari, ayat ini berisi pengajaran adab untuk Nabi SAW. Beliau dilarang untuk memastikan apa yang akan terjadi di masa hadapan melainkan dengan menyandarkannya kepada kehendak Allah. Sebab segala sesuatu hanya boleh berlaku apabila dikehendaki oleh Allah SWT.

Pengajaran ini tentu sahaja bukan khas untuk baginda seorang. Akan tetapi, adab ini juga berlaku untuk seluruh umat baginda hingga akhir zaman. Seorang mukmin yang menyedari hakikat dirinya sebagai hamba yang lemah tidak pernah berjanji melainkan dengan menyebut insya-Allah.

Makna insya-Allah

Jadi, kita boleh melihat bahawa kalimat insya-Allah merupakan sunnah nabi-nabi terdahulu yang diwariskan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Justeru, kalimat ini bukan perkara ringan, malah ia mengandungi makna yang sangat penting untuk disedari.

Secara harfiah, kalimat insya-Allah bermakna jika Allah menghendaki. Ucapan ini melambangkan kesedaran hamba akan hakikat dirinya yang serba kekurangan dan jahil. Sekali gus mengiktiraf kekuasaan Allah SWT yang Maha Kuasa dalam menentukan setiap yang berlaku di alam semesta ini.


Sepandai manapun seorang manusia, ia hanya boleh merancang dan berharap. Allah jua yang akan menentukan apakah rancangan dan harapan itu boleh terlaksana ataukah tidak?

Ucapan insya-Allah ini mencerminkan pengakuan atas kelemahan diri dan ketergantungan kepada belas kasih tuhannya agar selalu membantu dalam setiap keinginan dan niatnya.

Siapa yang selalu menyedari kelemahan dirinya, Allah akan selalu hadir dalam hidupnya. Dan siapa yang merasa dirinya serba cukup dan berkuasa atas segalanya, ia akan lupa diri dan berakhir seperti Firaun dan Namruz yang mengaku diri sebagai tuhan.

Berkata Imam al-Syafi'i: "Kelemahan adalah sifat manusia yang paling jelas. Sesiapa yang selalu menyedari sifat ini, dia akan beroleh istiqamah dalam beribadat kepada Allah."

Jadi betullah kalimat ini bukan perkara yang boleh dijadikan alasan untuk dipermain-mainkan?

Ya, jelaslah ucapan insya-Allah sama sekali bukan alat untuk melepaskan tanggungjawab atau alasan untuk tidak menepati janji. Sebagai seorang Muslim, janji adalah hutang yang mesti kita tunaikan. Ucapan ini juga bukan kalimat alternatif untuk menolak secara halus permintaan pihak yang ingin kita jaga hatinya.

Sebaliknya, insya-Allah lebih sesuai difahami sebagai kata-kata jaminan bahawa janji yang telah terucap akan terlaksana dengan baik. Sebab siapa yang berjanji dengan niat sungguh-sungguh untuk melaksanakannya, sambil menyerahkan perkara itu kepada Allah, bantuan daripada Allah SWT akan datang untuk mewujudkan janji tersebut.


Dalam hadis Al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW pernah bercerita: Nabi Sulaiman bin Dawud berkata: Malam ini aku akan mendatangi 90 orang isteri-isteriku. Setiap daripada mereka pasti akan melahirkan seorang pejuang di jalan Allah.

Malaikat berkata kepadanya: katakanlah insya-Allah. Namun Nabi Sulaiman tidak mengucapkan kalimat ini. Akhirnya, tidak ada seorangpun daripada isteri-isterinya itu yang melahirkan anak. Hanya seorang isteri yang melahirkan, namun anak itu cacat dan tidak sempurna.

Bersabda Nabi SAW: Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, andai beliau mengucapkan: insya-Allah, nescaya isteri-isterinya itu akan melahirkan anak-anak yang berjuang di jalan Allah.

Berkata Ibnu Battal Al-Maliki: "Hadis ini mengandungi pengajaran bahawa sesiapa yang mengucapkan insya-Allah, sambil menyedari kelemahan dirinya dan meminta bantuan daripada Allah, maka besar kemungkinan ia akan memperoleh apa yang diharapkannya."

Maka menjadi kewajiban kita merubah kekeliruan ini dengan memulainya dengan diri kita sendiri. Pastikan selalu kalimat insya-Allah diucapkan setiap kali berjanji.

Selepas itu berusahalah sedaya upaya untuk menepati janji itu sambil meminta bantuan daripada Allah SWT. Jika semua ini kita lakukan, maka bantuan daripada Allah akan sentiasa mengalir untuk kita.

Kalau bukan kita yang merubah persepsi negatif tentang Islam dan kaum muslimin, maka siapa lagi?


Wallahu a'lam

4 PERKARA

4 Keagongan Pada Setiap Hari Jumaat Menunggu Kita

a) Rasulullah SAW sebagai kekasih Allah SWT sentiasa menunggu 
Selawat dan Salam dari umatnya.

b) Semua kubur dalam kegelapan akan merindui bacaan surah Al-
kahfi dari bibir anak yang soleh untuk menyinari taman-taman 
Syurga yang mereka diami di alam kubur.

c) Waktu Mustajab telah Allah SWT wujudkan sentiasa merindui doa-
doa dari insan yang soleh untuk dipersembahkan kepada Allah 
SWT.

d) Umat Islam yang dizalimi seperti di Palestin , Iraq, 
Afghanistan dan lain-lain negara yang dicerobohi oleh tentera 
ahzab amerika sentiasa dahagakan doa dari umat Islam di 
negara yang aman agar mereka terlepas dari dugaan Allah SWT 
dan dari azab neraka di Akhirat kelak.

-

4 Jenis Hati Dalam Dunia

a) Hati Hidup dan Sempurna atau selamat Sejahtera – ialah hati yang tenang diselaputi dengan iman dan dipenuhi dengan cahaya.Yakin dan Ikhlas serta dipenuhi dengan cinta kepada Allah SWT. Mencintai apa sahaja yang Allah Cintai serta Redha kepada Allah SWT.

b) Hati Mati- ialah hati yang dipenuhi dengan kegelapan dan bersifat ganas, seperti rumah yang ditinggalkan dan didiami oleh syaitan, Dipenuhi dengan sifat munafiq, kafir dan maksiat. hatinya adalah seperti hati orang kafir.

c) Hati Sakit- Imannya sentiasa berubah, kadang-kadang menjadi munafiq dan kadang-kadang berminat kepada Islam, Hatinya sentiasa dibelai dengan nafsu, bergelombang dengan fitnah dan tergoda dengan syaitan, ia adalah hati yang terlalu lemah iman.

d) Hati yang kosong- apa jua diisi ia tidak membawa apa-apa faedah,tidak mengenal kebaikan dan tidak mengenal kejahatan, apa yang menjadi matlamatnya adalah nafsu semata-mata, inilah hati orang munafiq.

-

4 Perkara Meruntuhkan Agama Allah S.W.T

a) Kamu tidak mengamal dengan apa yang kamu ketahui.
b) Kamu beramal dengan apa yang kamu tidak ketahui.
c) Kamu tidak mempelajari dengan apa yang kamu tidak ketahui 
sehingga kamu tetap b*d*h selama-lamanya.
d) Kamu melarang manusia daripada mempelajari apa yang mereka 
tidak ketahui.

-

4 Perkara Menegakkan Agama Allah & Dunia

Ali bin Abi Talib R.A Berkata:

Agama dan dunia akan tetap tegak berdiri kerana empat perkara


a) Selama-mana orang-orang kaya tidak bakhil dengan apa yang 
telah dikurniakan pada mereka.
b) Selama -mana ulamak mengamalkan dengan ilmu yang telah 
diketahui.
c) Selagi orang b*d*h tidak sombong dengan perkara yang tidak 
diketahuinya.
d) Selagi orang fakir tidak menjual akhirat dengan dunia.

-

4 Perkara Yang Di Murkai Allah S.W.T

a) Membesarkan diri atau takabbur.
b) Hasad dengki.
c) Berdusta.
d) Batu api ( melaga-lagakan di antara dua pihak ).

-

4 Perkara Allah Haramkan Masuk Nerana

a) Orang yang menahan nafsu ketika berahi.
b) Orang yang menhan nafsu ketika ketakutan.
c) Orang yang menahan nafsu ketika keinginan.
d) Orang yang menahan nafsu ketika kemarahan.

-

4 Perkara Allah Menutup Pintu Rezeki

a) Tidur waktu pagi.
b) Meninggalkan solat.
c) Malas.
d) Tidak beramanah ( Khianat )

-

4 Perkara Allah Membuka Pintu Rezeki

a) Beribadat pada waktu malam.
b) Banyak bersitighfar pada waktu sahur ( 1/3 malam ).
c) Banyak bersedekah.
d) Berwirid pada waktu pagi dan petang.

-

4 Perkara Membawa Kecelakaan

a) Mata yang degil.
b) Keras hati.
c) Tamak.
d) Panjang angan-angan.

-

4 Perkara Melemahkan Badan

a) Banyak berdukacita.
b) Terlalu banyak minum air ( sekali gus ).
c) Banyak makan makanan yang masam atau yang telah basi.
d) Terlalu banyak bersetubuh.

Panduan Cara Solat





























Friday

Kelebihan Berselawat Ke Atas Nabi Muhammad s.a.w

Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani Al-Hasani menyatakan tentang kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. di dalam kitabnya al-Safinah al-Qadiriyyah. Beliau meriwayatkan daripada Ibnu Farhun berkata: Berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. itu mempunyai empat puluh dua kelebihan. Hal ini tertulis di dalam kitabnya ‘Hadaiq al-Anwar’:

1. Melaksanakan perintah Allah.


2. Bersamaan dengan selawat Allah kepada Rasulullah s.a.w.


3. Bersamaan dengan selawat para malaikat.


4. Mendapat ganjaran sepuluh kali selawat daripada Allah atas setiap kali selawat yang diucapkan (selawat daripada Allah bererti rahmat).


5. Dikurniakan oleh Allah sepuluh darjat atas tiap-tiap satu selawat.


6. Dituliskan oleh malaikat sepuluh kebaikan atas setiap selawat.


7. Dihapuskan oleh Allah sepuluh kejahatan atas setiap selawat.


8. Segala doa akan diperkenankan oleh Allah.


9. Mendapat syafaat daripada Rasulullah s.a.w.


10. Mendapat keampunan Allah serta akan ditutup segala keaiban.


11. Allah akan menutupi segala dukacita.


12. Dikurniakan maqam hampir kepada Rasulullah s.a.w.


13. Mendapat darjat al-Sidq.


14. Ditunaikan segala hajat.


15. Salam sejahtera pada hari kiamat.


16. Allah dan para malaikat akan berselawat ke atas individu yang berselawat.


17. Mendapat khabar gembira daripada Allah dengan balasan syurga.


18. Salam sejahtera pada huru-hara hari kiamat.


19. Rasulullah s..a.w. akan menjawab secara langsung ke atas setiap selawat yang dibacakan.


20. Mudah mengingat semula perkara-perkara yang lupa.


21. Mendapat kedudukan yang baik pada hari kiamat serta tidak akan kecewa pada hari itu.


22. Tidak akan merasai fakir.


23. Terpelihara daripada dihinggapi sifat bakhil.


24. Mendapat kesejahteraan daripada doa Rasulullah s.a.w. kepada yang berselawat.


25. Selawat akan menjemput setiap pengucapanya ke jalan syurga.


26. Menjauhkan seseorang itu daripada terlibat dalam majlis-majlis yang tidak disebut padanya nama Allah dan Rasul-Nya atau daripada majlis-majlis lagha.


27. Berselawat menyempurnakan kalam pujian Allah apabila disebut (di dalam doa), maka akan disambut selepas itu dengan kalimah selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.


28. Selamat melintasi titian Sirat al-Mustaqim pada hari kiamat.


29. Disambut oleh Allah pada hari kiamat dengan kata-kata pujian yang lunak.


30. Mendapat balasan rahmat yang luas daripada Allah.


31. Mendapat keberkatan daripada Allah.


32. Mendapat kesempurnaan iman.


33. Kasih dan cinta kepada Rasulullah s.a.w.


34. Mendapat hidayah Allah dan dikurniakan hati yang sentiasa hidup mengingati Allah.


35. Setiap selawat yang dibaca akan dibentangkan di hadapan Rasulullah s.a.w. secara langsung.


36. Teguh pendirian dengan kebenaran.


37. Berselawat bererti kita menggunakan sebahagian hak-hak Rasulullah s.a.w. ke atas diri kita. Di samping itu ianya dianggap sebagai mensyukuri nikmat Allah yang mengurniakan dan mengutuskan Rasulullah s.a.w. kepada kita.


38. Berselawat juga bererti zikrullah, bersyukur serta mengikut segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah.


39. Berselawat bererti melengkapkan pengertian berdoa dan memohon kepada Allah, ke atas Rasulullah s.a.w. dan kepada diri sendiri.


40. Antara kelebihan yang paling hebat kepada setiap individu ialah akan terjelma gambaran Rasulullah s.a.w. di dalam jiwanya.


41. Dikurniakan oleh Allah maqam seorang Syeikh dan Murabbi.


42. Mendapat kebahagiaan, ketenangan hidup didunia dan akhirat.


Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah Al-Ahzaab 33:56)